Telah berkata Al-Imam Al-Habib Al-Arif billlah, Sheikh Abdullah bin 'Alawi Al-Haddad r.a.:
Kami akan menerangkan tentang zahir dari makna "La Ilaha IllaLlah" (tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah), kerana kita telah menjelaskan bahawa, makna batin dari kalimah Tauhid tersebut perlu didiamkan dari perbincangan umum.
Ketahuilah bahawa, Tiada Tuhan melainkan Allah bererti, Dialah wajibul wujud lizatihi (kewajibannya adalah wajib dari sudut akal, dan kewujudan-Nya tidak bergantung kepada yang lain). Dia Maha Esa, Maha Memiliki dan Maha Berkuasa. Dia Maha Hidup lagi Maha Mentadbir setiap perkara. Dia bersifat dengan Qodim, di mana tiada permulaan bagi kewujudan-Nya dan Dia juga Abadi yang tiada berakhir bagi kewujudan-Nya.
Dia mengetahui setiap sesuatu dan mampu melakukan setiap sesuatu. Dia melakukan apa yang dikehendaki-Nya, dan berhukum dengan apa yang Dia mahu. Dia tidak menyerupai sesuatupun, dan tidak mempunyai sebarang sekutu bagi-Nya. Dia tidak tertakluk di dalam taklukan masa dan tidak juga sibuk dengan sesuatupun. Dia juga tidak bertempat dan tidak pula berhajat kepada perkara-perkara baharu. Dia tidak memerlukan sesuatupun.
Dari sudut yang lain pula, setiap sesuatu selain-Nya, memerlukan-Nya. Dialah yang menciptakan setiap yang wujud. Dialah yang menciptakan perbuatan setiap makhluk tersebut, baik dan buruknya. Maha Suci Allah s.w.t. yang merupakan sebaik-baik Pencipta. Dialah yang memberi hidayah kepada seseorang dan Dialah jua yang menyesatkan sesiapa yang dikehendaki-Nya.
Dialah yang memberi dan Dialah jua yang menegah. Dialah yang mengampunkan dan Dialah jua yang mengazab sesiapa yang dikehendaki-Nya. Tidak ada sesiapapun yang layak mempersoalkan-Nya dan merekalah (makhluklah) yang akan dipersoalkan. Dialah yang menciptakan dan Dialah yang memberi rezeki.
Dialah yang menurunkan kitab-kitab sebagai wahyu dan Dialah yang mengutuskan para Rasul a.s., sebagai bukti kelembutan-Nya terhadap para hamba-Nya dan kemurahan-Nya terhadap mereka. Maka, wajib bagi para hamba-Nya untuk mentauhidkan-Nya (mengesakan-Nya) dan taat kepada-Nya dalam ibadah, dengan menyahut seruan para Rasul-Nya a.s., dan tidak ada sesuatupun yang wajib bagi-Nya untuk melakukan sesuatu atau meninggalkannya, kerana Dialah Raja dan Pemilik setiap sesuatu, dan menguruskannya. Setiap sesuatu selain-Nya tidak ada hak di sisi-Nya, untuk meminta hak mereka dari-Nya. Dialah yang menjanjikan ganjaran buat para solihin, kerana kemurahan-Nya, dan Dia juga yang menjanjikan azab buat orang-orang yang ingkar kerana keadilan-Nya.
Maka, perkataan TUHAN, meliputi seluruh sifat-sifat yang disebutkan, dan Dialah Allah yang tiada tuhan selain daripada-Nya, kerana setiap sifat tersebut jelas dimiliki oleh-Nya dan tidak dimiliki oleh selain daripada-Nya secara mutlak, samada bersifat dengan salah satu daripada sifat-sifat tersebut, apatah lagi untuk memiliki seluruh sifat-sifat tersebut.
Barangsiapa yang menafikan sifat-sifat ketuhanan dari Allah s.w.t., dan mengisbatkannya kepada selain Allah s.w.t., atau menyekutukan Allah s.w.t. pada sifat-sifat ketuhanan tersebut, maka ia merupakan suatu kedustaan dan akan ditimpa ke atasnya kerugian yang abadi. Merekalah orang-orang yang disebutkan oleh Allah s.w.t. di dalam Al-Qur'an yang bermaksud: "Kami telah memenuhkan neraka Jahannam dengan ramai dari kalangan jin dan manusia, kerana mereka memiliki hati tetapi tidak berfikir dan meneliti dengannya, mereka memiliki mata tetapi tidak mahu melihat (kebenaran) dengannya, dan mereka mempunyai telinga tetapi tidak mahu mendengar (kebenaran) dengannya. Mereka bagaikan binatang, bahkan lebih sesat dari binatang. Merekalah orang-orang yang lalai".
Tidak ada komentar:
Posting Komentar